top of page

TAMAN NEGARA PULAU TIGA

 Taman Negara Pulau Tiga telah disytiharkan pada tahun 1978 yang merupaka kawasan Taman Negara yang keempat di Sabah. Taman ini teletak di kawasan Teluk Kimanis di Laut China Selatan yang meliputi  keluasan 39200 ekar dimana 1500 ekar meliputi kawasan Pulau Tiga, Pulau kalampunian Damit dan Pulau Kalampunian Besar. manakala kawasan yang selebihnya seluas 37700 ekar meliputi kawasan perairan dan terumbu karang di sekeliling pulau tersebut.

Tujuan utama pengisytiharan Taman Negara ini adalah untuk memelihara kawasan perairan dan alam semulajadi pulau ini serta melindungi dan memelihara kawasan hutan, tumbuh-tumbuhan pinggir laut, rumpai dan terumbu karang, ikan, lahar gunung berapi dan fauna di pulau ini dari tercemar.

Selain dari tujuan tersebut, pengisytiharan Pulau Tiga sebagai Taman Negara adalah untuk memperbanyakkan lagi kawasan rekreasi yang lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk tujuan pelancongan. Kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk berenang, berperahu, memancing, mengembara, berkelah dan mengkaji tumbuh-tumbuhan akan dapat menarik lebih ramai pengunjung ke pulau ini disamping meninkmati keindahan alam semulajadinya.



Selain daripada keunikan alam semulajadi yang masih belum tercemar, seperti hutan dara, tumbuhan bakau (mangrove), pantai-pantai yang berkilauan, di Taman Pulau Tiga memberi peluang kepada para pelawat untuk melihat lebih kurang 60 spesis burung, termasuklah burung Tambun (Megapodius freycinet) yang merupakan endemik species, di kepulauan Borneo. Selain daripada burung-burung, Taman Pulau Tiga juga turut dihuni oleh beberapa jenis binatang liar seperti Monyet (Maccaca Fasicularis), biawak (Eguana) dan berpuluh ribu ekor Keluang (Flying fox).

   

Manakala di Pulau Kalampunian Damit (Pulau Ular), para pelawat dapat menyaksikan beratus-ratus ekor ular laut (Laticuda Calubrina) yang menjadi penghuni tetap di pulau tersebut. Pulau Ular (Snake Island) sejak kebelakangan ini telah menjadi tumpuan para pelawat dari luar negara.

Para pelawat yang berminat dengan hidupan laut (Marine life) pasti akan merasai satu kepuasan apabila menyaksikan beraneka jenis hidupan laut, termasuklah bunga karang, yang terdapat di Taman Pulau Tiga, dan adalah dipercayai terumbu karang ini di antara yang tercantik di dunia.

Turut menjadi daya tarikan pada para pelawat, ialah beberapa kawasan Gunung Berapi Lumpur (Mud Volcano) dan juga sarang-sarang Burung Tambun yang terdapat dipesisiran pantai.

bottom of page